Ramai rakyat Malaysia percaya sup ketam mampu untuk merawat penyakit demam denggi.
Pendapat berkaitan manfaat sup ketam untuk denggi telah lama menjadi kepercayaan masyarakat setempat, namun, adakah benar hidangan ini boleh memulihkan seseorang daripada penyakit demam denggi?
Jawapan mudah dan singkat untuk amalan makan sup ketam untuk denggi ini adalah ‘TIDAK BENAR’. Ini kerana sup ketam tidak memainkan peranan dalam apa-apa tindak balas fisiologi berkaitan dengan demam denggi.
Sekurang-kurangnya, mitos alternatif lain untuk rawatan denggi seperti pengambilan jus daun betik mempunyai kajian yang menunjukkan ia mampu untuk mengekalkan atau menaikkan paras platelet dalam darah.
Sebaliknya, sup ketam tidak langsung mempunyai sandaran saintifik yang membantu dalam menyembuhkan penghidap demam denggi.
Ketaksuban dan penyebaran mitos peranan rawatan alternatif seperti pengambilan sup ketam untuk mengubati demam denggi dan juga jus daun betik ini merupakan sesuatu yang berbahaya.
Ini kerana, kepercayaan yang kuat terhadap peranan rawatan alternatif seperti ini akan melengah-lengahkan pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital yang sepatutnya dilakukan dengan segera.
Dalam kes demam denggi, masa adalah penting! Sekiranya pesakit mendapatkan rawatan awal di hospital dan diberikan cecair intravena, risiko kematian boleh dielakkan.
Tidak salah makan sup ketam untuk denggi
Namun yang demikian, pengambilan bahan-bahan seperti sup ketam untuk ubati denggi dan juga jus daun betik ini bukanlah sesuatu yang dilarang.
Sebaliknya, peringatan dan perkara mustahak yang ingin disampaikan oleh pakar perubatan dan juga pihak Kementerian Kesihatan Malaysia adalah bahan-bahan tersebut tidak boleh menggantikan rawatan hospital.
Ia boleh dijadikan sebagai pelengkap untuk rawatan yang diberikan oleh pihak hospital. Khususnya untuk sup ketam, ia harus dilihat sebagai sokongan nutrisi kepada seorang pesakit dan bukannya sebagai rawatan.
Menurut Prof Dr Winnie Chee, Presiden Persatuan Dietetik Malaysia, diet yang tinggi dengan kalori dan protein adalah disarankan untuk pesakit demam denggi apabila mereka telah tiba ke fasa kebah demam.
Keperluan kalori dan protein dalam diet mereka boleh ditingkatkan sehingga 50% daripada keperluan harian biasa. Di sini, terdapat kelebihan sup ketam yang dapat dikenal pasti iaitu ia makanan yang mudah untuk dimakan, mudah diserap oleh badan dan juga merupakan sumber protein.
Sungguhpun begitu, hidangan ini bukanlah satu-satunya sumber protein yang ada dan sup ayam atau ikan juga boleh memainkan peranan yang sama dalam membekalkan keperluan protein dan kalori pesakit jika diberikan dengan kerap.
Sehingga kini, tiada rawatan yang khusus untuk melawan virus denggi. Sebaliknya rawatan yang ada seperti saluran intravena dan juga span tepid bertujuan untuk mengawal simptom akibat demam denggi dan mencegah daripada berlakunya komplikasi yang tidak diingini.
Seperti yang dibincangkan di atas, peranan bahan seperti daun pucuk betik dan juga sup ketam untuk denggi tidak menggantikan rawatan sedia ada, tetapi boleh digunakan sebagai pelengkap dalam mengawal simptom dan juga untuk memenuhi keperluan nutrisi.
Disebabkan oleh hal ini, vaksin untuk demam denggi dilihat sebagai sesuatu yang perlu bagi mengelakkan kematian akibat jangkitan.
Langkah pencegahan untuk elak demam denggi
Untuk penyakit yang tidak mempunyai rawatan yang khusus seperti penyakit demam denggi ini, langkah pencegahan adalah penting bagi menghapuskan terus kemungkinan anda untuk dijangkiti.
Anda boleh mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan diri daripada terkena gigitan nyamuk dengan:
- Gunakan ubat nyamuk.
- Gunakan kelambu semasa tidur. Gunakan repellent jika perlu.
- Elakkan aktiviti di luar semasa nyamuk aktif menggigit (5.30 pagi-8.00 pagi dan 5.30 petang-8.00 malam).
- Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang apabila keluar dari rumah.
- Pasang jaring halus (mosquito mesh) di tingkap dan pintu.
Untuk memelihara keluarga di sekitar kediaman anda daripada menghidap demam denggi, anda disarankan untuk menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk.
Caranya adalah dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
1. Menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di sekeliling rumah. Musnahkan semua bekas yang boleh menakung air hujan atau lebihan air, terutamanya di besen, tayar lama, bekas bunga, bekas plastik dan tong. Jika tidak boleh dimusnahkan, letakkan bahan pembunuh jentik-jentik di bekas tersebut.
Kerap tukar air pada bekas minuman haiwan peliharaan.
2. Jika anak anda disyaki mengalami sakit denggi dan dipantau sebagai pesakit luar (tidak dimasukkan ke wad), bawa anak anda segera ke hospital/ klinik jika mereka mengalami:
- Muntah berlarutan/berpanjangan.
- Sakit perut.
- Kurang bermaya/sawan.
- Sesak nafas.
- Pucat/sejuk pada tangan dan kaki.
- Pendarahan: daripada gusi/hidung, muntah darah, najis berdarah dan tanda-tanda merah pada kulit.
Kesimpulannya, demam denggi adalah penyakit yang boleh dicegah namun ia masih menyebabkan kematian dan juga kehilangan produktiviti rakyat Malaysia setelah sekian lama.
Peranan pendidikan dan kesedaran perlu diperkasakan bagi memastikan rakyat Malaysia cakna dengan wabak penyakit ini serta mampu untuk memisahkan mitos seperti sup ketam untuk denggi daripada fakta sebenar.
Peranan pendidikan dan kesedaran perlu diperkasakan bagi memastikan rakyat Malaysia cakna dengan wabak penyakit ini serta mampu untuk memisahkan mitos seperti sup ketam untuk denggi daripada fakta sebenar.
Segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital sekiranya anda mengalami sebarang simptom demam denggi.
good sharing
BalasPadam@Normi Niezaselagi boleh share Om nak share
BalasPadamHarapnya bukan danggilah om..tapi tak pe..makan je sup ketam tu..bagi tenaga jat badan..bagi keluar peluh..
BalasPadam@PeRdU cINta harap harap bukan denggi kak PC, risau jugak ni.
BalasPadam