Bismillah.
Assalammualaikum.
Betul Ke Kunyit Baik Untuk Kulit? | Biasanya kita guna kunyit dalam masakan kan? Kunyit ni pun boleh je digunakan untuk kesihatan dan kulit wajah.
Sebelum ni, memang aku sendiri suka betul buat mask kunyit. Tapi tak boleh pakai tempoh yang lama, kang tak pasal kuning pulak muka.
Kunyit adalah antara rempah yang sering digunakan dalam masakan Asia. Rempah berwarna oren-kekuningan ini memberikan rasa yang tersendiri dalam setiap masakan.
Sama seperti bahan semula jadi yang lain, kunyit juga dikatakan menawarkan pelbagai manfaat untuk kulit. Namun, benarkah kunyit baik untuk kulit anda?
Ko boleh baca betul ke kunyit baik untuk kulit dari info Hello Doktor ni ya.
Apa itu kunyit?
Merupakan antara herba yang paling dikaji dalam sains, kunyit atau nama saintifiknya Curcuma longa, menawar manfaat kesihatan, terutamanya kurkumin – komponen bioaktif, yang bersifat anti-radang dan antioksidan.
Dalam satu kajian yang dijalankan, 1 auns kunyit memberikan 26% daripada keperluan mangan (manganese) atau batu kawi, elemen kimia yang diperlukan setiap hari dan 16% daripada keperluan zat besi harian. Tumbuhan ini juga merupakan sumber serat, kalium, vitamin B6, magnesium, dan vitamin C.
Berikut adalah beberapa cara kunyit boleh memberikan manfaat kepada kulit anda:
1. Perbaiki kulit
Komponen antioksidan dan anti-radang yang terkandung dalam kunyit dikatakan dapat memberikan kilauan dan cahaya pada kulit serta memulihkan kulit. Ia juga membantu mengurangkan kemerahan akibat jerawat dan memberikan kelegaan pada kulit bermasalah seperti ekzema dan rosacea.
Anda boleh mencuba membuat masker di rumah untuk melihat keberkesanan kunyit pada kulit anda. Campur sedikit yogurt Greek, madu dan kunyit, gaul rata dan sapukan pada kulit muka anda. Biarkan selama 15 minit sebelum anda membilasnya dengan air.
2. Melawan jerawat
Kunyit sangat berkesan untuk melawan jerawat kerana ia mengandungi antiseptik semula jadi dan membantu mencegah penyebaran bakteria. Ia amat berkesan apabila dicampurkan dengan cuka epal yang mempunyai ciri-ciri astrigen – yang memainkan peranan sama seperti toner biasa.
3. Memperlahankan penuaan
Kunyit mengandungi pigmen curcuminoid yang merangsang gen yang meningkatkan sintesis antioksidan tubuh. Ia akan melindungi sel otak dan kulit dari kerosakan yang disebabkan radikal bebas, dan melambatkan pembetukan kedutan dan garis halus.
4. Menyembuhkan luka
Kurkumin – komponen yang membuatkan kunyit berwarna oren-kekuningan – yang terdapat dalam kunyit dikatakan boleh membantu menyembuhkan luka dengan mengurangkan keradangan dan pengoksidaan. Ia juga mengurangkan tindak balas anda terhadap luka kulit.
Kajian juga menyatakan kunyit boleh mendatangkan kesan terhadap tisu dan kolagen tubuh. Sekali gus membantu membuatkan luka anda lebih cepat sembuh.
5. Kurangkan lingkaran gelap
Oleh kerana kunyit bersifat anti-radang dan agen pencerahan kulit, ia sesuai untuk mengurangkan lingkaran gelap bawah mata serta tompokan hitam yang disebabkan sinaran matahari. Ini kerana ia dapat merangsang peredaran darah, sekali gus membantu mengurangkan kegelapan.
6. Merawat psoriasis
Psoriasis ada satu masalah kulit – muncul tompok putih yang tebal, menyebabkan gatal-gatal yang serius. Dan kunyit dikatakan dapat mengawal simptom ini dengan menghalang enzim keradangan dan menurunkan tahap sitokin – yang merangsang keradangan sel.
Menurut Yayasan Psoriasis Kebangsaan, ia boleh digunakan sebagai suplemen atau ditambah ke dalam makanan. Sebaiknya, berbincang dengan pakar sebelum mencuba kaedah ini untuk mendapatkan dos yang lebih tepat.
7. Merawat parut dan tanda regangan
Sekali lagi, terima kasih kepada kurkumin, yang dapat menyerap masuk ke membran sel dan memperbaiki sifat fizikal membran sel – kesannya ia merawat tanda regangan. Anda boleh gabungkan kunyit dengan krim atau yogurt dan sapukan ke bahagian perut dan pinggang sebelum anda mandi. Biarkan selama 20 minit dan bilas dengan bersih semasa mandi. Cara yang sama juga boleh digunakan untuk merawat parut.
Kesimpulan
Walau bagaimanapun, terdapat risiko dalam menggunakan kunyit untuk merawat masalah kulit anda. Sebelum menggunakan kunyit, anda perlu berhati-hati dengan kuantiti yang hendak digunakan, jenis produk dan tindak balas yang mungkin berlaku terhadap ubatan yang anda ambil.
Sebaiknya, elakkan mengambil kunyit dalam kuantiti yang besar dan banyak. Cuba sapukan sedikit kunyit pada bahagian bawah lengan anda dan biarkan selama 24 hingga 48 jam untuk melihat sama ada wujudkan reaksi alahan atau tidak sebelum menggunakannya pada kulit anda.
2 Comments
banyaknya khasiat kunyit. Tau buat goreng-goreng aje
Very important knowles, thanks for your sharing...
Sila tinggalkan comment korang disini!