11 Januari 2023

7 Cara Potty Training Anak 2 Tahun Dengan Cepat

Apa khabar para pembaca sekalian? Luth dah cecah usia 2 tahun 4 bulan tapi aku masih lagi belum latih dia untuk ke tandas. Baru-baru ni terbaca satu post tentang perkara tu, aku macam tertarik untuk mulakan pada minggu ini. Bukan apa, dah sampai untuk jimatkan kos perbelanjaan pampers dan susu Luth.

Aku ni pun masih lagi bertatih untuk menjadi ibu yang terbaik. Niatnya dalam hati nak mulakan bila Luth dah cecah umur 3 tahun. Tapi itulah, kalau tak mulakan langkah pertama, bila lagi kan? Lagi pun, nak ajar anak ni, tiada had waktu atau umur tertentu untuk mengajar anak ke tandas. 

Bagi ibu-ibu muda yang baru menimang cahaya mata sulung, pasti pernah terfikir berkenaan potty train anak mereka. Banyak persoalan yang bermain di fikiran, termasuklah cara dan juga umur sesuai untuk potty training. 

Oleh itu, aku bawakan kepada anda satu kisah bagaimana seorang ibu muda ini mengajar anaknya ke tandas ketika si manja berumur tiga tahun. Untuk maklumat lanjut tentang potty training, anda boleh singgah ke Hello Doctor ya!

Cara Potty Training Anak 2 Tahun Dengan Pantas

Setiap pasangan yang baru berkahwin pasti akan melalui satu pengalaman yang berharga sewaktu membesarkan cahaya mata pertama mereka. Anak kelahiran yang pertama ini seolah-olah menjadi satu medan untuk menguji kemahiran keibubapaan buat pertama kali dalam hidup berkeluarga. 

Cara Potty Training Anak 2 Tahun
Sumber: Google

Hal ini turut berlaku dalam kehidupan Puan Jalila Abdul Rahman yang telah dikurniakan cahaya mata perempuan pertama pada 30 September 2018. Cahaya matanya yang kini berumur tiga tahun empat bulan dikenali dengan nama Iman Maryam. 

Menurut Puan Jalila, anak sulungnya ini seorang yang agak manja dan juga sensitif sejak mula mendapat adik baharu. Sepertimana ibu-ibu muda yang lain, Puan Jalila mengakui bahawa segalanya berubah sejak memiliki anak sulung dalam kehidupannya. 

Ini termasuklah rutin harian seperti waktu makan, waktu berehat dan kepentingan kerjayanya sendiri. Namun, ia tidak melunturkan semangatnya sebagai seorang ibu memandangkan dia dikelilingi individu yang berpengalaman yang banyak memberikan nasihat dan dorongan.

Menurut Puan Jalila, dia mula ajar anak potty training apabila anaknya itu sudah berumur dua tahun. Namun, dia sendiri sudah mula memikirkan soal potty training anak ini sejak Iman Maryam berumur satu tahun lebih lagi. 

Dia sentiasa mengikuti perkembangan anaknya itu untuk melihat sama ada si kecil sudah bersedia untuk diajar ke tandas atau belum. Malahan, dia percaya bahawa setiap manusia akan melalui fasa-fasa tertentu dalam kehidupan mereka dan ia pasti akan mengambil sedikit masa. 

cara potty training anak 2 tahun
Sumber: Google

Begitu juga proses potty training anak, ia mempunyai fasanya yang tersendiri namun perlu diperhatikan oleh para ibu bapa berkenaan kesediaan anak mereka untuk belajar ke tandas dari semasa ke semasa.

Memandangkan Iman Maryam adalah kelahiran sulungnya, jadi Puan Jalila sendiri banyak merujuk kepada individu berpengalaman yang lain selain membaca artikel berkenaan cara mengajar potty training kepada anak. 

Oleh itu, Puan Jalila telah menggabungkan banyak kaedah yang diketahuinya sehinggalah anaknya itu 99% berjaya diajar untuk potty training. Menurut ibu muda ini, setiap ibu bapa pasti mempunyai cara dan kaedah mereka yang tersendiri. 

Ini kerana setiap anak pasti mempunyai kerenah yang pelbagai, jadi satu kaedah sahaja tidak boleh digunakan untuk semua kanak-kanak. “Ada anak yang bersedia lebih awal dan ada juga yang lebih lambat. Namun ibu bapa tidak perlu gusar kerana tiada garis panduan yang ditetapkan. Cuma ibu bapa perlu memerhatikan anak mereka sama ada anak itu telah bersedia atau belum untuk sesi potty training,” kata Puan Jalila. 

Pun begitu, Puan Jalila masih sudi berkongsi tip ajar potty training anak ini terutamanya bagi ibu bapa muda yang masih tercari-cari kaedah yang sesuai. Ini 7 tip pengalamannya mengajar Iman Maryam potty training: 

#1. Mulakan dengan teknik pujukan 

Apabila anak sudah berumur satu tahun tujuh bulan, Puan Jalila mulakan dengan teknik percakapan atau pujukan. Beliau akan mula bercakap secara perlahan-lahan bersama anaknya berkenaan rancangan untuk bersedia berlatih bercerai lampin. 

Puan Jalila akan menceritakan kepada anaknya berkenaan kejayaan kanak-kanak lain yang telah berjaya belajar untuk ke tandas. Teknik pujukan ini tidak akan terus berjaya dan ibu bapa perlu melakukannya sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. 

#2. Bawa ke tandas secara berkala 

Pada peringkat awal, Puan Jalila akan membawa anaknya ke tandas setiap lima minit kerana masih tidak tahu corak waktu anaknya membuang air selepas tidak lagi memakai lampin. Selepas itu, barulah dia akan menjarakkan selang waktu tersebut. Pada peringkat awal, disarankan untuk ajar anak seperti ini pada waktu siang dahulu. 

Lama-kelamaan, anak akan faham sendiri rutin mereka untuk ke tandas bagi membuang air. Puan Jalila turut mengingatkan kepada anaknya setiap hari berkenaan hadiah yang akan diperolehnya jika dia berjaya untuk tidak memakai lampin. 

#3. Minta pertolongan penjaga jika sibuk bekerja 

Memandangkan Puan Jalila bekerja bermula waktu petang hingga malam, dia akan meminta pertolongan daripada individu yang menjaga anaknya iaitu ibu mertuanya sendiri. Ibu mertuanya akan turut sama-sama melatih rutin ini sewaktu Iman Maryam di bawah jagaannya. 

#4. Mula beli tandas untuk potty training 

Puan Jalila akan menggunakan teknik pujukan ini sehinggalah anaknya mula memasuki usia dua tahun. Beliau menasihatkan ibu bapa untuk memerhatikan keadaan anak sama ada mereka sudah bersedia atau belum. 

Sebagai contoh, Iman Maryam ada menyatakan bahawa dia sudah tidak berasa selesa di bahagian lampin yang dipakainya. “Oleh itu, saya sudah mula tidak memakaikan lampin kepadanya. Saya membeli tandas potty training untuk menarik perhatiannya. Saya juga menunjukkan contoh kepadanya bagaimana untuk menggunakannya,” tambah Puan Jalila lagi.


cara potty training anak 2 tahun
Sumber: Google

#5. Cuba selama seminggu 

Pada peringkat awal, untuk melatih anak agar mereka konsisten dengan rutin ke tandas, cuba ambil masa seminggu untuk kekal berada di rumah. Ini akan memberikan waktu yang lebih lama untuk anak belajar tidak memakai lampin dan biasa dengan rutin ke tandas. Elakkan keluar bersiar-siar dalam waktu seminggu ini. 

#6. Ajar perlahan-lahan untuk waktu malam pula 

Mengajar anak untuk tidak memakai lampin dan tidak membuang air kecil ketika tidur mungkin akan mengambil sedikit masa. Oleh itu, pakaikan lampin sebelum tidur pada peringkat awal. Setelah itu, anda boleh mula untuk tidak memakaikan lampin secara perlahan-lahan. Ajar anak untuk ke tandas terlebih dahulu sebelum mereka tidur. Letakkan kain lapik atau alas di tempat tidur mereka sebagai persediaan. 

#7. Bersabar dengan kerenah anak 

Proses potty training anak ini akan mengambil masa yang agak lama. Ini kerana kita sedang membentuk satu rutin baharu kepada mereka. Sentiasa bersabar kerana kanak-kanak masih dalam proses pembelajaran. Teruskan ajar anak potty training walaupun ditinggalkan bersama penjaga

Kesimpulan

Semoga perkongsian tentang cara potty training anak 2 tahun ini membantu dalam menyelesaikan masalah anda. Semoga dipermudah urusan ya!

1 ulasan:

  1. Saya pun tengah berfikir-fikir nak potty train anak. Anak dah dua tahun 5 bulan ni. Belum start lagi, cuma cakap2 jer dulu dengan dia.

    Anak kita lebih kurang umurnya. Dulu datang sini, single lagi kita dua. Hihi

    BalasPadam

Sila tinggalkan comment korang disini!