15 Januari 2023

7 Tips dan Tanda Ikan Segar Sebelum Membeli Di Pasar

Apa khabar para pembaca sekalian? Seronok juga bila ke pasar dan anda sendiri tahu untuk memilih ikan yang segar. Sekarang ini, nak beli anda kena pastikan ikan itu segar supaya bila balik rumah tiada lagi isu ikan busuk. 

Lagi pun, ikan segar dari jeti pastinya ambil beberapa hari untuk sampai ke pasar besar atau shopping mall.

Ada banyak kaedah atau petua yang boleh kita guna sewaktu memilih ikan segar di pasar. Antara cara yang paling biasa digunakan adalah dengan melihat warna mata ikan. Selain mata ikan, ada 6 lagi cara pilih ikan segar di pasar yang anda boleh praktikkan.

tanda ikan segar

Siapa sahaja yang tidak mahu ikan baru ketika berada di pasar. Bahkan, jika mahu mencari ikan untuk diberikan kepada kucing di rumah juga memerlukan ikan yang ‘fresh‘. Ini kerana, ikan yang baru akan bertahan lebih lama di dalam peti sejuk. Bukan itu sahaja, ikan yang masih baru tidak mengeluarkan bau yang busuk atau terlalu hanyir apabila disimpan. 

Apabila kita memasak sesuatu hidangan atau lauk pauk, ikan baru merupakan komponen penting bagi lauk tersebut. Jika anda memasak ikan yang tidak lagi ‘fresh‘, isi ikan akan mudah pecah dan ia mungkin agak berbau apabila dihidangkan. Inilah antara kepentingan memilih ikan di pasar yang masih elok dan juga ‘fresh‘.

Ikan yang diselimuti taburan ais belum tentu boleh menjamin kesegarannya. Oleh itu, anda jangan mudah terpedaya dengan trick peniaga yang meletakkan ais pada ikan sebagai tanda ikan masih segar. Guna 7 petua dan tanda ikan segar di bawah ini sewaktu anda ingin memilih ikan di pasar.

Cara & Tips Memilih Ikan Segar di Pasar

tanda ikan segar




#1. Lihat warna insang ikan segar

Ikan yang masih baru atau segar mempunyai warna insang merah pekat, seakan-akan warna darahnya. Insang ikan juga agak basah, tetapi bukanlah terlalu berlendir. Bagi ikan yang sudah lama, insangnya agak pucat dengan warna kecoklatan atau kehitaman. Insang ikan juga mungkin sudah agak berlendir.

#2. Lihat warna mata ikan 

Ikan segar mempunyai warna mata yang masih jernih dan menonjol keluar daripada lubang matanya. Manakala bagi ikan yang sudah lama, matanya berwarna agak merah dan biji matanya agak ke dalam. 

#3. Cium bau ikan 

Ikan di pasar yang masih baru atau segar masih mempunyai bau air laut. Ikan yang sudah lama pula tidak lagi mempunyai bau laut, kecuali bau busuk dan hanyir yang agak kuat. 

#4. Rasa tekstur ikan

Bagi ikan yang baru sahaja dinaikkan ke jeti, ia mempunyai tekstur badan yang agak pejal dan keras. Isinya juga masih utuh walaupun dipicit. Manakala bagi ikan yang sudah tidak segar, isinya agak lembik dan mudah pecah apabila dipicit. 

tanda ikan segar

#5. Lihat warna badan ikan 

Ikan yang segar mempunyai warna yang masih lagi berkilat atau kelihatan masih baru. Manakala ikan yang sudah lama mungkin agak kekuningan dan kulitnya juga sudah mula tertanggal. 

#6. Sisik ikan segar masih melekat 

Ikan baru mempunyai sisik yang masih melekat pada badannya. Namun, jika ikan itu sudah agak lama, kebanyakan sisiknya mungkin sudah tertanggal atau bersepah di sekitar badannya. 

#7. Tengok perut ikan

Bagi ikan-ikan kecil seperti ikan pelaling, kembung atau selar kuning, anda boleh melihat pada bahagian bawah perutnya. Ikan yang masih segar mempunyai perut yang masih cantik dan keras. Manakala untuk ikan yang tidak segar, perutnya mungkin sudah pecah atau seolah-olah hendak pecah. 

Ekstra, cara pilih makanan laut segar 

Selain ikan, ada juga beberapa teknik yang boleh anda amalkan sewaktu hendak memilih makanan laut lain di pasar. Antara yang boleh anda perhatikan adalah: 
  • Kerang: Untuk mendapatkan kerang segar, sebaiknya pilihlah kerang yang masih hidup. Kerang hidup akan membuka cangkerangnya sedikit dan anda boleh melihat ia bergerak-gerak 
  • Udang: Udang segar mempunyai badan yang masih pejal, kulit kepala yang keras, warna yang masih segar dan tiada bintik hitam 
  • Ketam: Untuk ketam pula, pilihlah ketam yang masih hidup sama ada ketam nipah atau ketam bunga. Jika sudah mati, lihat pada anggota badannya. Elakkan membeli ketam dengan anggota badan yang sudah patah 
  • Sotong: Sotong yang masih segar mempunyai badan yang agak kenyal dan keras. Ia juga tidak mengeluarkan bau hanyir yang terlalu kuat, melainkan hanya bau laut sahaja

Kesimpulan

Pastikan sebelum ke pasar, anda sudah tahu tentang tanda ikan segar. Jangan mudah tertipu dengan trick peniaga yang meletakkan ais pada ikan sebagai tanda ikan masih segar bugar. Selamat mencuba tips ini ya!

1 Comments

selalu suami yang pergi pasar. bini dia malas nak usik usik ikan

Sila tinggalkan comment korang disini!