18 Februari 2023

Resepi Laksa Penang Pekat, Mudah Dan Sedap

Laksa Penang yang sedap mestilah kuahnya pekat dan langsung tidak berbau hanyir. Kali ini, aku kongsikan pula resepi laksa penang yang sedap, pekat dan likat. Lagi pun, zaman sekarang laksa ini boleh dimakan di mana sahaja buka hanya di rumah malah di kedai juga.

Kesedapan setiap laksa penang biasanya berpandukan kepada kepekatan kuahnya dan juga tiadanya bau hanyir ikan semasa menghirup kuah laksa ini. Bukan apa, laksa penang ini mempunyai pelbagai versi dan rasa, jadi style orang Penang sememangnya agak berbeza.

Baca: Resepi Bihun Sup Utara

Walau bagaimanapun, ada yang berpendapat kesedapan masakan ini bergantung kepada jenis ikan dan ada juga berkata ia berpandukan kepada bahannya yang dikatakan ada rahsianya yang tersendiri.

Jika anda suka, anda boleh cuba buat dengan menggunakan resepi ini di rumah kerana bila buat sendiri lebih puas hati makan sampai menambah-nambah kerana jumlahnya lebih banyak daripada yang dijual di kedai dan gerai ckt.

Resepi Laksa Penang Pekat, Mudah Dan Sedap

Resepi Laksa Penang
Sumber : Google


Perkongsian daripada Che Nom di laman blognya telah menarik perhatian ramai netizen dengan ribuan share dan ini menandakan bahawa resepinya sangat sedap yang dibuat cara asli orang Penang serta rasanya yang agak pedas terangkat.

Bahan-bahan:

Bahan-bahan untuk direbus: 

  • 1 kg ikan kembung
  • 5 keping asam 
  • air secukupnya
Bahan-bahan kisar (A): 

  • 5 biji bawang merah 
  • 1 biji bawang besar 
  • 4 ulas bawang putih cili padi, buang tangkai 
  • 25 biji cili kering, buang biji dan rebus 

Bahan-bahan kisar (B): 

  • isi ikan kembung 
  • air rebusan ikan kembung 
  • asam keping dari rebusan ikan
Bahan-bahan kisar (C): 

  • isi ikan sardin tin, dari 1 tin kecil 
  • sedikit air 

Bahan-bahan kisar (D): 

  • tulang ikan kembung 
  • sedikit air 

Bahan-bahan kisar (E): 

  • 1/2 biji nenas 
  • sedikit air 

Bahan-bahan untuk sediakan kuah: 

  • 1/2 liter air 
  • bahan-bahan kisar A,B,C,D,E (seperti di atas) 
  • 1/2 mangkuk air asam jawa 
  • 1-2 kuntum bunga kantan, belah 4 
  • 1 ikat daun kesum 
  • seketul belacan bakar, agak-agak sebesar ibu jari 
  • 2 sudu besar petis garam secukup rasa 
  • 1 ketul kecil gula melaka, secukup rasa 

Bahan-bahan untuk laksa: 

  • 1 pek laksa kering 
  • air secukupnya 

Bahan-bahan untuk condiment/ taburan atas laksa penang: 

  • daun salad 
  • daun selom 
  • timun 
  • bawang besar 
  • cili padi 
  • cili merah 
  • limau nipis 
  • nenas 
  • telur rebus 

Cara Penyediaan: 

1. Rebus ikan kembung bersama asam keping dan air secukupnya dalam anggaran 10 minit atau sehingga ikan masak dan kemudian sejukkan

2. Ambil ikan, asingkan bahagian isi dan tulang. simpan air rebusan dan asam keping. 

3. Kisar halus bahan-bahan A,B,C,D,E.Untuk Bahan D, tapis dan ambil airnya sahaja. 

4. Masukkan 1/2 liter air dalam periuk dan masak hingga mendidih.

5. Masukkan bahan kisar halus A,B,C,D,E.

6. Tambah air asam jawa, bunga kantan, daun kesum, belacan bakar, petis, garam dan gula melaka secukup rasa.

7. Cara-cara untuk rebus laksa:

  • Rendam laksa dalam air sehingga lembut.
  • Tapis dan masukkan ke dalam periuk yang sudah mengandungi air mendidih secukupnya. Masak sehingga laksa lembut dan tapis.

8. Cara-cara untuk condiment/bahan taburan:
  • Hiris nipis daun salad atau daun selom, timun, bawang besar, cili padi, cili merah dan nenas.
  • Rebus telur, kupas kulit dan belah 2.
  • Potong limau nipis. Laksa sedia untuk dihidangkan. 

Kesimpulan

Kalau nak guna ikan selayang segar, atau ikan parang sebagai ganti pun boleh. Jangan letak gula banyak sangat sebab kita tak nak kuah laksa yg manis. Cukup sekadar imbangkan rasa kuah. Bilas sikit laksa yang sudah direbus denga air sejuk supaya hilang kanji laksa dan tidak lembik bila dihidangkan.

Diharap perkongsian resepi laksa penang mudah dan cepat ini dapat membantu serta memudahkan tugas anda untuk menyediakannya di rumah atau di mana saja anda berada. Semga bermanfaat.


4 ulasan:

  1. laksa penang memang kena kuag pekat baru la terasa sedapnya. alamak terliur pula tau

    BalasPadam
  2. saya sgt suka laksa ni tapi sini ssh nak dpt. buat sendiri cam tak confident lak. hehe

    BalasPadam
  3. Saya suka Laksa Penang sedap puas makan

    BalasPadam

Sila tinggalkan comment korang disini!